Tuesday, 15 May 2012

Kenapa DAP Tolak Panel Bebas Siasat BERSIH 3.0 ??


BERSIH 3.0 benar-benar memakan diri pembangkang. Sudahlah gagal dari segi jumlah sokongan, mereka juga gagal memutarbelit fakta untuk menunjukkan keganasan dimulakan oleh polis dan bukannya perusuh.  Akibat gagal, mereka terpaksa menuduh perusuh yang mengganas itu sebagai polis yang menyamar.   Untuk itu, blog-blog, laman web dan penyokong mereka jenuh  berpusing-pusing cuba menjustifikasikan keganasan yang dilakukan mereka.  

Bagi meredakan keadaan, kerajaan telah mengisytiharkan panel bebas untuk menyiasat BERSIH 3.0 yang kemudiannya diterima dengan sinis oleh pihak pembangkang.  Pada 12 Mei lalu, DAP mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa Perhimpunan Bersih 3.0.

Nampaknya, sudah menjadi sikap semulajadi DAP di mana setelah membuat tuduhan itu dan ini terhadap musuh-musuh mereka, mereka akan mendesak agar siasatan dilakukan. Tetapi apabila usaha untuk menyiasatnya dibuat, mereka akan membuat berbagai helah untuk menolak atau memboikot panel siasatan dan juga hasil siasatan sekiranya ia tidak menyebelahi mereka.  

Sebelum ini mereka telah membuat perkara yang sama dalam isu kematian Teoh Beng Hock.   Malah, jika diamati, isu BERSIH itu sendiri juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu menuduh SPR sebagai tidak bersih dan kemudiannya menafikan semua usaha SPR untuk penambahbaikan.  

Jika dalam isu kematian Teoh Beng Hock, DAP berbuat demikian kerana ingin mengalih dan menutup isu sebenar iaitu salahguna kuasa dan korupsi ADUN mereka, maka tidak salah kita mengesyaki taktik yang sama dalam isu BERSIH 3.0 iaitu untuk menutup kesalahan sendiri. 


Alasan DAP kali ini ialah mereka enggan menerima perlantikan Tun Mohammad Hanif Omar sebagai ketua panel siasatan, atas alasan beliau mengambil pendirian yang partisan terhadap Bersih dengan mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat serta menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.    

Walaubagaimanapun, dalam menuduh Tun Hanif sebagai partisan, DAP pula mencadangkan pihak yang tidak kurang bersifat partisan seperti Suhakam.  DAP juga menyokong pandangan Majlis Peguam Malaysia bahawa panel siasatan kekurangan rangka kerja perundangan dan tidak mengurniakan imuniti undang-undang kepada mereka yang terlibat dalam prosiding serta kekurangan kuasa undang-undang untuk memberi sepina kepada saksi-saksi atau menuntut dokumen-dokumen.  

Sedangkan sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Suhakam dan Majlis Peguam adalah dua badan yang tidak pernah bertindak adil, sentiasa berat sebelah, tidak professional serta penuh putar-belit demi untuk membela pihak penentang undang-undang dan kerajaan.  Kedua-duanya juga diragui mempunyai hubungan dengan anasir luar serta disyaki menerima dana asing.  

Justeru, jika kita perlu memilih antara dua pihak yang berpartisan, bukankah lebih baik kita memihak kepada Tun Hanif yang terbukti seorang yang berjasa pada negara, tidak berat sebelah, bersifat patriotik dan amat professional selama perkhidmatan beliau dalam menjaga keselamatan kita semua.   

Kita tidak faham kenapa DAP perlu meragui Tun Hanif tetapi memberi kepercayaan kepada Suhakam dan mendengar cakap Majlis Peguam?  Sedangkan Majlis Peguam sendiri terbukti telah menyembunyikan fakta sebenar tentang keganasan BERSIH 3.0 sepertimana yang didedahkan oleh peguam Ranjit Singh Dhillon di Youtube.  

Pendedahan itu pula disokong dengan tindakan saman oleh seorang ahli Majlis Peguam iaitu Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa Majlis Peguam telah gagal sama sekali bertindak sebagai badan yang professional apabila dalam tempoh kurang lima jam mesyuarat untuk memutuskan resolusi BERSIH 3.0, telah memaparkan dengan jelas terlibat dalam ciri-ciri skandal pembohongan, bias, berada dalam kedudukan yang diragui serta banyak lagi.

Jelas di sini, pihak yang dirujuk dan disokong oleh DAP amat tidak boleh dipercayai.  

Sikap DAP yang suka memihak kepada penjenayah, perusuh dan mereka yang melanggar undang-undang amatlah dikesalkan.   Dengan itu, salahkah kita menyatakan bahawa DAP sebenarnya takut dengan sikap professional dan tegas Tun Hanif dalam menerajui siasatan BERSIH 3.0.  

Tidak mustahil DAP punya sesuatu untuk disembunyikan mengenai BERSIH 3.0, seperti juga dalam kes Teoh Beng Hock. Mungkinkah DAP bimbang tangan siapa di belakang, dan dari mana datangnya dana serta bagaimana keseluruhan BERSIH 3.0 dirancang akan terbongkar dengan seluas-luasnya sekiranya siasatan menyeluruh diketuai oleh tokoh seperti Tun Hanif, iaitu seorang bekas penguatkuasa undang-undang yang amat dihormati dan dikagumi oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.   

Tuesday, 8 May 2012

Ulama Mengesahkan Demonstrasi BERSIH 3.0 Haram


Akhirnya para Ulama dan Mufti membuka mulut menyuarakan pandangan mereka selepas masing-masing kurang senang melihat kekacauan dan rusuhan berlaku semasa demonstrasi BERSIH 3.0. Mereka sepakat sependapat sebarang perhimpunan dan demonstrasi yang menjurus kepada kacau bilau dan mengganggu ketenteraman awam adalah haram untuk disertai.

Kenyataan itu jelas tepat dan kena pada masanya apatah lagi demonstrasi BERSIH 3.0 yang berlangsung minggu lepas itu terbukti gagal dikawal selia oleh penganjur hingga akibatnya memudaratkan suasana damai yang selama ini dikecapi semua pihak.


Tidak sedikit khalayak umum terpaksa menanggung kerugian angkara rusuhan dan kekacauan yang berlaku, lebih dari itu sedikit sebanyak turut menyebabkan imej baik negara terpalit sama tercemar gara-gara tindakan liar perusuh BERSIH 3.0 yang berkelakuan ganas seakan hilang kewarasan fikirannya.

Malah apabila kebanyakan perusuh yang terbabit merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota keselamatan seperti yang berlaku dalam BERSIH 3.0 adalah terdiri kalangan orang Islam, ianya tentu sahaja mencalarkan kesucian Islam sebagai agama yang menyeru kepada keamanan dan perpaduan.

Selain itu, faktor pihak penganjur sendiri yang terlibat secara langsung dalam menyokong keagiatan memurtadkan umat Islam dan kuat mendukung golongan songsang (lesbian, gay, biseksual & transgender - LGBT) tentu sahaja menjadi salah satu kriteria penting sehingga mendorong para Ulama bersependapat mengharamkan perhimpunan seumpama itu.

Namun, persoalannya adakah para peserta BERSIH 3.0 khususnya yang beragama Islam bersedia menerima pandangan para Ulama itu dan mengambil iktibar sebagai pengajaran di masa depan, ataupun mereka lebih selesa berpaut pada pandangan minoriti pro BERSIH 3.0 yang diketuai oleh ulamak politik seperti Nik Aziz Nik Mat?

Friday, 13 April 2012

MANSUH PTPTN BUKTI ANWAR BANKRAP IDEA ??!!!??


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan kedangkalan dalam idea pengurusan kewangan negara apabila mencadangkan pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Sebaliknya, kerajaan harus membiayai pendidikan  peringkat kolej dan universiti secara percuma seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara maju yag lain.

Alasan bekas Menteri Kewangan itu, kerana syarikat minyak milik negara, Petronas, memperolehi puluhan bilion ringgit keuntungan setiap tahun dan dana ini harus digunakan untuk memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Bunyinya sudah tentunya amat menarik, tetapi apabila dipadankan dengan realiti kerangka pengurusan negara, ia akan menjurus kepada krisis kewangan yang amat serius jika cadangan itu dilaksanakan malah negara boleh bankrap.

Mengapa tidaknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan cadangan pelik Anwar akan menambah RM43 bilion lagi kepada beban hutang negara.

Jumlah yang besar ini sudah tentu boleh disalurkan kepada pembangunan disektor ekonomi yang sama penting seperti kesihatan, perumahan rakyat, jalanraya, bantuan keusahawanan Bumiputera dan sebagainya.

Lagi pun kata Perdana Menteri negara seperti Sweden yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya, pada masa yang sama juga mengenakan cukai yang amat tinggi.

Tidak ada kemudahan yang diperolehi dengan percuma tanpa pengorbanan pada sisi yang lain.

Sebagai pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Anwar sudah kekeringan ide yang bernas untuk memajukan ekonomi negara.

Seperti juga cadangannya untuk mengurangkan harga minyak sejurus menjadi Perdana Menteri, semua idenya tidak berlandaskan kepada fakta dan penilaian yang teliti berkaitan ekonomi negara.

Idea Anwar hanya untuk memancing undi pada pilihan raya akan datang dan supaya beliau boleh jadi Perdana Menteri.

Malah bekas bosnya, Tun Dr Mahathir melihat Anwar sebagai Menteri Kewangan yang hambar dan 'mediocre' atau 'cukup makan'.

Kebolehan Anwar mengurus kewangan negara terserlah ketika negara berhadapan dengan krisis kewangan dan ekonomi yang teruk akibat serangan penyangak matawang antarabangsa pada 1998.

Dr Mahathir berkeras tidak mahu mengambil pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia ketika itu kerana ini bermakna negara akan dijajah dari segi ekonomi oleh kedua-dua agensi antarabangsa itu.

Dr Mahathir mahu kerajaan terus berbelanja dalam sektor-sektor yang kritikal seperti pembinaan, pembuatan dan sebagainya bagi menggerakkan ekonomi.

Sebaliknya Anwar yang menjalin persahabatan dengan ramai tokoh Yahudi di Amerika Syarikat dan Eropah mahu Malaysia tunduk kepada IMF dan Bank Dunia seperti mana yang berlaku kepada Indonesia, Thailand dan Korea.

Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu mengambil langkah drastik untuk mengambil hati IMF dan Bank Dunia dan tidak menghiraukan nasib rakyat Malaysia yang menderita teruk akibat krisis ekonomi.

Mereka yang mempunyai pinjaman perumahan ketika itu sudah tentu masih ingatkan bagaimana tindakan Anwar telah menyebabkan kadar faedah pinjaman perumahan telah naik secara mendadak sehingga dua kali ganda.

Ramai rakyat berpendapatan rendah dan sederhana jatuh bankrap, hilang tempat tinggal dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Ini hasil dasar ekonomi yang dilakukan oleh Anwar dan kini cuba menukar wajah untuk menjadi juara membela rakyat pula!

Tidak cukup dengan itu, mereka yang mempunyai kad kredit juga mempunyai pengalaman kerana Anwar telah menaikkan jumlah minima bayaran bukan daripada 10 kepada 15 peratus.

Semua ini dilakukan kerana Anwar adalah budak suruhan dunia Barat dan bukannya pemimpin yang prihatin kepada rakyat.

Cadangan menghapuskan PTPTN dan menurunkan harga minyak hanya mencerminkan minda seorang pemimpin pembangkang yang gagal dalam serba serbi - moral, akhlak, peribadi dan keikhlasan membela rakyat.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mundur dan jauh daripada mencapai status negara maju jika Anwar mengurus ekonomi negara.

Jangan biarkan pengalaman pahit menghantui kita kembali.

Tuesday, 10 April 2012

Tindakan Adun Simpang Pulai Tidak Wajar, Cemar Maruah Dewan-DS Zambry


Hari Terakhir Persidangan Dun Perak ke- 12 dikotori dengan insiden biadap Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai yang bersikap kurang ajar terhadap Speaker, R.Ganesan.


Tindakan kurang ajar itu telah menyebabkan speaker membuat keputusan untuk menghalau pemimpin dari Pakatan Rakyat itu dari menyertai persidangan.


Di permulaan persidangan, Ming Kai telah mencetuskan kekecohan selain menaikkan suara terhadap exco-exco kerajaan negeri berikutan tidak puas hati kerana soalan yang diberikan tidak dijawab.

Difahamkan, perkara yang menjadi ketidakpuasan hati pemimpin pembangkang itu hanyalah kerana soalan lisan yang diberikan kepada exco ditolak oleh speaker.


Daripada, 4 soalan yang diusulkan hanya satu yang diluluskan untuk dijawab oleh kerajaan negeri.
Hanya kerana itu, adun Pakatan Rakyat ini sanggup terpekik terlolong selain bertindak kurang ajar dengan menaiki kawasan podium speaker.


Tindakan itu ternyata Ming Kai tidak mempunyai sikap hormat terhadap kemuliaan dewan selain mempamerkan nilai adab yang sangat teruk.
Contoh sebegini sudah tentu mencerminkan sikap sebenar Ming Kai dalam mentadbir kawasan Simpang Pulai.


Nampak seperti seorang yang pendiam tetapi sebenarnya sikap kurang ajar seperti telah sebati dalam dirinya seperti mana yang diamalkan pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang lain.


Selain itu, difahamkan juga Ming Kai tidak puas hati dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Exco Perindustrian, Datuk Hamidah Osman.


Ming Kai mendakwa Hamidah gagal menjawab soalan berkaitan isu pembalakan seperti yang dikemukakan.

Berang dengan jawapan Hamidah itu, maka Ming Kai mula meluahkan perasaan marahnya dengan mempamerkan sikap kurang ajar.


Persidangan kemudiannya, kembali berjalan selepas kekecohan itu.

Thursday, 15 December 2011

PEMBANGKANG MEMANG GEMAR HINA PEMIMPIN BN - Tun Dr. Mahathir


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed kecewa dengan politik pembangkang khususnya DAP yang gemar menghina, memperlekeh pemimpin kerajaan dengan gelaran melampau dan yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

Katanya, begitulah caranya politik pembangkang yang gemar memaki hamun orang, gemar membuat janji mengunung tetapi tidak mampu melaksanakannya.

"Itu cara dia orang maki orang, kata macam-macam kat orang, tapi nak tunjuk apa yang dia boleh buat setakat sekarang ini tak nampak apapun yang dia boleh buat, janji bolehlah janji nak bagi semua orang menjadi jutawan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bicara Negarawan bertajuk "Transformasi PBT Melangkah Ke Hadapan : Apa Kata Tun" anjuran MBI dan JASA di Dewan Bandaran Ipoh baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Besar, YAB Dato' Seri Dr. Zambry Bin Abdul Kadir dan Datuk Bandar Ipoh, Dato' Roshidi Hashim.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Taiping, Ngah Kor Ming yang menghina dan memperlekeh Dr. Zambry dengan gelaran 'hitam metalik' dan 'haram jadah'.

Menurut Dr. Mahathir, dulu beliau sendiri pun pernah digelar 'Maha Firaun' tapi itulah caranya politik pembangkang yang gemar menghina pemimpin kerajaan.

Dintanya mengenai dakwaan pembangkang, mereka telah berjaya membuktikan boleh mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan negeri lain adalah tidak benar.

Katanya, hampir semua asas pentadbiran adalah daripada usaha Barisan Nasional.

"Kalau BN tidak meletakkan asas yang sebaik itu pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa," katanya.

SUMBER : SUARA PERAK BERITA SEMASA (1) 12 2011

Monday, 12 December 2011

BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA

Syarat Permohonan

Seorang pemohonan yang ingin mendapatkan bantuan ini mestilah:
  • Warganegara Malaysia
  • Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar RM3000 dan ke bawah.
  • Berkahwin
  • Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan
  • Bujang yang mempunyai tanggungan (dalam rumah yang sama)
  • Warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) yang sebatang kara dengan jumlah pendapatan kasar RM3000 dan ke bawah sebulan.
Untuk tujuan pendaftaran, pemohon mesti menyertakan salinan dokumen seperti berikut:
  • Borang Pendaftaran BR1M
  • Salinan MyKad/Kad Polis/Kad Tentera
  • Salinan Penyata Gaji terkini (Bagi pemohon yang menerima gaji sahaja)








Pertanyaan dan Maklumat Lanjut
Satu talian hotline bagi menjawab persoalan dan memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Bantuan Tunai RM500 – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 7 Oktober 2011 yang lalu telah disediakan seperti berikut:
Talian hotline : 1-800-222-500 (Bebas Tol)
Waktu operasi : 9.00 pagi hingga 5.00 petang (hari bekerja)
Emel : belanjawan2012@treasury.gov.my
Perkhidmatan mulai 7 Disember 2011 (Rabu)
Bilik Operasi Bajet
Aras 10, Blok Tengah
Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia
1-800-222-500 (Hotline)
03-8882 3786 (Faks)

Tuesday, 15 November 2011

KERAJAAN BN ADIL, TIDAK 'PILIH KASIH' BERI BANTUAN !!


Perjuangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berlandaskan kepada prinsip adil, saksama dan telus sememangnya telah lama diamalkan walaupun masih ada pihak yang mahu menyangkal kenyataan ini.


Telah banyak yang dilakukan kerajaan BN dalam usaha membuktikan ia adalah sebuag parti pemerintah yang adil termasuklah memberikan bantuan sama di kawasan pembangkang termasuklah penyokong dan ahli pembangkang sendiri.


Ini kerana matlamat BN dengan tidak membezakan fahaman politik dalam memberi batuan kerana apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat.

Dan bukti konsep keadilan itu didukung dengan tindakan dan bukanlah retorik semata-mata adalah semasa majlis penyerahan bantuan Azam Tani peringkat negeri Perak di Pulau Pangkor baru-baru ini.

Salah seorang penerimanya adalah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Pangkor, Mohd Hilal Aziz, 44 dari Kampung Sungai Pinang Besar, Pangkor.

Bapak anak tiga itu merupakan nelayan mendapat bantuan modal berjumlah RM10,000 untuk tujuan membeli perlatan menangkap ikan seperti enjin bot dan pukat.

"Saya berterima kasihlah kepada kerajaan. Memang kerajaan adil dan tidak pilih kasih...itu betul." katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan itu oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan dakwaan pembangkang yang sentiasa menuduh kerajaan tidak adil beliau berkata pandangan setiap orang itu mungkin berbeza-beza.

"Semua orang mempunyai pandangan berbeza. Jika bantuan Azam Tani saya lihat kerajaa itu adil tetapi saya tidak tahu denga bantuan-bantuan lain," katanya.


Mohd Halil berkata beliau telah memohon bantuan Azam Tani itu dengan Persatuan Nelayan Pangkor dan mengharapkan permohonannya diluluskan.


"Saya amat mengharapkan bantuan ini bagi membeli peralatan menangkap ikan supaya saya boleh mendapat bantuan lebih. Dengan peralatan sekarang, saya hanya mendapat pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 dan ini tidak cukup untuk menyara tiga anak saya yang masih bersekolah," katanya.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan BN tidak pernah memilih dalam memberi bantuan kepada rakyat.

Katanya sebagai sebuah kerajaan yang adil dan berwibawa, kerajaan akan melayani semua rakyat tanpa memilih 'bulu', 'warna kulit', dan fahaman politik.


"BN tidak beri bantuan terpilih kepada yang sokong parti ini sahaja," katanya.


Setiap yang kita laksanakan semuanya mengikut prinsip keadilan kerana memikirkan keutamaan rakyat. BN lakukan tanggungjawab bukan hanya untuk main-main atau mempunyai matlamat tertentu sebaliknya ia dibuat berlandakan perancangan dan jangkaan berterusan dengan gerak kerja teratur dan telus," ujarnya lagi.

Wednesday, 9 November 2011

SEKSUALITI MERDEKA 2011 PROGRAM SONGSANG !!?!



Seksualiti Merdeka 2011 kerja gila

Monday, 3 October 2011

PM Kita vs Diari YB - ND Lala



LAGU DAN SENIKATA : ND LALA
GUBAHAN MUZIK : PAK NGAH

TAJUK : PM KITA

ANDAINYA KAPAL TIADA NAKHODA
PASTI KAN KARAM DIPUKUL GELOMBANG
ANDAINYA KITA TIADA KETUA
PASTIKAN LEMAH DIHAMBAKAN ORANG

CHORUS

PM KITA UNTUK SEMUA - UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA
PM KITA UNTUK SEMUA - TAK KIRA KAUM TAK KIRA BUDAYA

PM KITA UNTUK SEMUA - UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA
PM KITA UNTUK SEMUA - DAHULUKAN RAKYAT SATU MALAYSIA

RAKYAT MALAYSIA SUDAH TERBUKTI
BERSOPAN SANTUN BERBUDI PEKERTI
HATINYA CEKAL GAGAH BERANI
KUAT BEKERJA TAHAN DI UJI

ULANG CHORUS

BERSAMA KITA BERSATU HATI
BELA AGAMA BANGSA DAN PERTIWI
BERSAMA HADAPI SEGALA CABARAN
BERSAMA-SAMA CIPTA KEJAYAAN

ULANG CHORUS


Bangun pagi-pagi
Tamu dah menanti
Bukan nak cari kopi
Nak tanya pasal subsidi


Hai belum sempat sarapan
Dah ada pulak panggilan
Kaum kerabat orang kanan
Nak mintak surat sokongan



Jam baru pukul 8
YB kena lawat kawasan
Tapi di tengah jalan
Pemudi tahan mintak bantuan
Disambut dengan kompang



Ayam itik pun banyaklah tumbang
Kemudian ditunjuk jalan berlubang
Suruh YB segera timbang
Pada waktu tengah hari
Ada pulak jemputan kenduri
Kalau YB tak pergi



Silap-silap nanti kurang undi
Hai dalam sibuk-sibuk
Orang sakit YB jenguk
Hai teruk ke tak teruk
Poket tetap YB kena seluk



Ketika awal petang
Ada satu sidang
YB tak boleh tak datang
Takut nanti kerusi terbang
Sebelum senja ke padang bola



YB dijemput sampaikan piala
Sambil tu mereka bertanya
"Jersi baru kami hai macam mana"



Bila malam tiba
Ceramah jadi agenda
Kalau YB tak bersedia
Kena tanya mungkin ternganga
Bila habis berceramah



Kampung lain YB singgah
Bukan sekadar menjengah
Tapi nak tinjau masalah
Walau dah lenguh badan
YB balik ke cawangan



Di tanya orang harapan
Apakah strategi lawan
Lewat malam di gerai tepi jalan
YB berembun melayan kawan-kawan
Dengar pendapat dengar pandangan



Sambil tu kena lah belanja makan
Sewaktu YB balik
Burung hantu pun rasa pelik
Isteri sendiri pun dah tak larat celik
Anak-anak pulak dah lama tergolek



Selepas YB mandi
YB belek itu dan ini
Kemudian picit-picit dahi sendiri
Cari jalan nak tolong Pemudi



Hingga dinihari YB tak tido lagi
Esoknya pagi-pagi
Dah ada tamu menanti



"Assalamualaikum YB.."

Monday, 26 September 2011

BN YOUTH JOB FAIR 2011 - IPOH !!



JOB FAIR 2011
Untuk maklumat lanjut sila lawati lama www.jobfair.my atau hubungi di talian 05-2557725



SENARAI SYARIKAT YANG AKAN MENYERTAI JOB & CAREER FAIR 2011 :-




1 - 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd

2 - Permodalan Usahawan Nasional Berhad


3 - Al-Rajhi Bank


4 - Jabatan Tenaga Kerja

5 - Riamoda Silk House

6 - ETS (KTMB)

7 - Angkasa Training Centre

8 - Ujang Farm

9 - Firefly- FlyFirefly Sdn Bhd

10 - Canon

11 - Banjaran Hotsprings

12 - Al-Hamry Management & Consultation

13 - Tutti Frutti

14 - Sports Planet

15 - CIMB Bank

16 - Jaguh Canggih / Alam Manusia Sdn Bhd (IT)

17 - Suara Perak 

18 - SNS Network (IT)

19 - MAXIS

20 - The Chicken Rice Shop



*semua syarikat yang mengambil bahagian akan di kemaskini setiap hari bergantung kepada permintaan peluang pekerjaan*

Monday, 19 September 2011

ISA DIMANSUH TRANSFORMASI POLITIK



PERUTUSAN KHAS HARI MALAYSIA
OLEH
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1.         Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2.         Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan  pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3.         Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4.         Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5.         Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

6.         Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya.  Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

7.         Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8.         Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta  kedaulatan undang-undang.

9.         Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

10.       Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

11.       Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

12.       Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

13.       Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

14.       Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

15.       Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan  rakyat Malaysia  telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

16.       Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17.       Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

18.       Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi  keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19.       Dari perspektif undang-undang  Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

20.       Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca  tragedi 11 September.

21.       Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

22.       Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23.       Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.



24.       Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

25.       Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

26.       Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

27.       Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

28.       Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

29.       Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30.       Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam  mencorakkan hala tuju masa depan mereka  sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31.       Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32.       Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33.       Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.


sumber sini --> KLIK !!