Seksualiti Merdeka 2011 kerja gila
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
KOTA KINABALU 2 Nov. - Penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November depan bukan sahaja dikecam hebat oleh umat Islam, tetapi agama lain termasuk Kristian.
Tokoh Kristian Sabah, Webley Disim berkata, ia satu kerja gila dan jelas bertentangan dengan kepercayaan semua agama di seluruh dunia yang tidak menghalalkan hubungan sejenis.
Katanya, pendekatan yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu perlu ditentang sekeras-kerasnya supaya ia tidak merosakkan akhlak semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia yang mudah terpengaruh.
Menurut beliau, setiap agama mempunyai kitab suci masing-masing yang memerintahkan untuk berlaku baik dan tidak membenarkan mereka melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat.
“Amat jelas, menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan oleh agama seperti hubungan sejenis adalah satu perkara biadab dan ia jelas sekali bertentangan dengan norma kehidupan.
“Saya menentang keras tindakan terkutuk itu dengan menganjurkan program yang jelas terpesong dan merosakkan akhlak setiap penganut yang mempercayai kitab ajaran agama masing-masing. Ini sangat melampau,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu cuba mempromosikan program Seksualiti Merdeka 2011 yang 1 hingga 13 November depan.
Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti diatur seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.
Mengulas lanjut, Disim berkata, sekiranya sesuatu program yang dianjurkan bertentangan dengan ajaran di dalam kitab suci, maka ia perlu ditolak dan diketepikan demi memastikan ia tidak mengkucar-kacirkan kehidupan.
Selain itu, katanya, penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 jelas mengaibkan bangsa Malaysia yang terkenal dengan tatasusila dan kesopanan dalam kehidupan seharian.
“Ia benar-benar memalukan saya sendiri sebagai bangsa Malaysia yang menitik beratkan nilai dan etika kehidupan normal. Sekali lagi saya tegaskan, saya menentang keras program seumpama itu.
“Malah saya berharap kerajaan membendung gejala tidak sihat ini dengan kadar segera dan dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba menganjurkan program seumpama itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment