Tuesday, 15 May 2012

Kenapa DAP Tolak Panel Bebas Siasat BERSIH 3.0 ??


BERSIH 3.0 benar-benar memakan diri pembangkang. Sudahlah gagal dari segi jumlah sokongan, mereka juga gagal memutarbelit fakta untuk menunjukkan keganasan dimulakan oleh polis dan bukannya perusuh.  Akibat gagal, mereka terpaksa menuduh perusuh yang mengganas itu sebagai polis yang menyamar.   Untuk itu, blog-blog, laman web dan penyokong mereka jenuh  berpusing-pusing cuba menjustifikasikan keganasan yang dilakukan mereka.  

Bagi meredakan keadaan, kerajaan telah mengisytiharkan panel bebas untuk menyiasat BERSIH 3.0 yang kemudiannya diterima dengan sinis oleh pihak pembangkang.  Pada 12 Mei lalu, DAP mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa Perhimpunan Bersih 3.0.

Nampaknya, sudah menjadi sikap semulajadi DAP di mana setelah membuat tuduhan itu dan ini terhadap musuh-musuh mereka, mereka akan mendesak agar siasatan dilakukan. Tetapi apabila usaha untuk menyiasatnya dibuat, mereka akan membuat berbagai helah untuk menolak atau memboikot panel siasatan dan juga hasil siasatan sekiranya ia tidak menyebelahi mereka.  

Sebelum ini mereka telah membuat perkara yang sama dalam isu kematian Teoh Beng Hock.   Malah, jika diamati, isu BERSIH itu sendiri juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu menuduh SPR sebagai tidak bersih dan kemudiannya menafikan semua usaha SPR untuk penambahbaikan.  

Jika dalam isu kematian Teoh Beng Hock, DAP berbuat demikian kerana ingin mengalih dan menutup isu sebenar iaitu salahguna kuasa dan korupsi ADUN mereka, maka tidak salah kita mengesyaki taktik yang sama dalam isu BERSIH 3.0 iaitu untuk menutup kesalahan sendiri. 


Alasan DAP kali ini ialah mereka enggan menerima perlantikan Tun Mohammad Hanif Omar sebagai ketua panel siasatan, atas alasan beliau mengambil pendirian yang partisan terhadap Bersih dengan mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat serta menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.    

Walaubagaimanapun, dalam menuduh Tun Hanif sebagai partisan, DAP pula mencadangkan pihak yang tidak kurang bersifat partisan seperti Suhakam.  DAP juga menyokong pandangan Majlis Peguam Malaysia bahawa panel siasatan kekurangan rangka kerja perundangan dan tidak mengurniakan imuniti undang-undang kepada mereka yang terlibat dalam prosiding serta kekurangan kuasa undang-undang untuk memberi sepina kepada saksi-saksi atau menuntut dokumen-dokumen.  

Sedangkan sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Suhakam dan Majlis Peguam adalah dua badan yang tidak pernah bertindak adil, sentiasa berat sebelah, tidak professional serta penuh putar-belit demi untuk membela pihak penentang undang-undang dan kerajaan.  Kedua-duanya juga diragui mempunyai hubungan dengan anasir luar serta disyaki menerima dana asing.  

Justeru, jika kita perlu memilih antara dua pihak yang berpartisan, bukankah lebih baik kita memihak kepada Tun Hanif yang terbukti seorang yang berjasa pada negara, tidak berat sebelah, bersifat patriotik dan amat professional selama perkhidmatan beliau dalam menjaga keselamatan kita semua.   

Kita tidak faham kenapa DAP perlu meragui Tun Hanif tetapi memberi kepercayaan kepada Suhakam dan mendengar cakap Majlis Peguam?  Sedangkan Majlis Peguam sendiri terbukti telah menyembunyikan fakta sebenar tentang keganasan BERSIH 3.0 sepertimana yang didedahkan oleh peguam Ranjit Singh Dhillon di Youtube.  

Pendedahan itu pula disokong dengan tindakan saman oleh seorang ahli Majlis Peguam iaitu Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa Majlis Peguam telah gagal sama sekali bertindak sebagai badan yang professional apabila dalam tempoh kurang lima jam mesyuarat untuk memutuskan resolusi BERSIH 3.0, telah memaparkan dengan jelas terlibat dalam ciri-ciri skandal pembohongan, bias, berada dalam kedudukan yang diragui serta banyak lagi.

Jelas di sini, pihak yang dirujuk dan disokong oleh DAP amat tidak boleh dipercayai.  

Sikap DAP yang suka memihak kepada penjenayah, perusuh dan mereka yang melanggar undang-undang amatlah dikesalkan.   Dengan itu, salahkah kita menyatakan bahawa DAP sebenarnya takut dengan sikap professional dan tegas Tun Hanif dalam menerajui siasatan BERSIH 3.0.  

Tidak mustahil DAP punya sesuatu untuk disembunyikan mengenai BERSIH 3.0, seperti juga dalam kes Teoh Beng Hock. Mungkinkah DAP bimbang tangan siapa di belakang, dan dari mana datangnya dana serta bagaimana keseluruhan BERSIH 3.0 dirancang akan terbongkar dengan seluas-luasnya sekiranya siasatan menyeluruh diketuai oleh tokoh seperti Tun Hanif, iaitu seorang bekas penguatkuasa undang-undang yang amat dihormati dan dikagumi oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.   

Tuesday, 8 May 2012

Ulama Mengesahkan Demonstrasi BERSIH 3.0 Haram


Akhirnya para Ulama dan Mufti membuka mulut menyuarakan pandangan mereka selepas masing-masing kurang senang melihat kekacauan dan rusuhan berlaku semasa demonstrasi BERSIH 3.0. Mereka sepakat sependapat sebarang perhimpunan dan demonstrasi yang menjurus kepada kacau bilau dan mengganggu ketenteraman awam adalah haram untuk disertai.

Kenyataan itu jelas tepat dan kena pada masanya apatah lagi demonstrasi BERSIH 3.0 yang berlangsung minggu lepas itu terbukti gagal dikawal selia oleh penganjur hingga akibatnya memudaratkan suasana damai yang selama ini dikecapi semua pihak.


Tidak sedikit khalayak umum terpaksa menanggung kerugian angkara rusuhan dan kekacauan yang berlaku, lebih dari itu sedikit sebanyak turut menyebabkan imej baik negara terpalit sama tercemar gara-gara tindakan liar perusuh BERSIH 3.0 yang berkelakuan ganas seakan hilang kewarasan fikirannya.

Malah apabila kebanyakan perusuh yang terbabit merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota keselamatan seperti yang berlaku dalam BERSIH 3.0 adalah terdiri kalangan orang Islam, ianya tentu sahaja mencalarkan kesucian Islam sebagai agama yang menyeru kepada keamanan dan perpaduan.

Selain itu, faktor pihak penganjur sendiri yang terlibat secara langsung dalam menyokong keagiatan memurtadkan umat Islam dan kuat mendukung golongan songsang (lesbian, gay, biseksual & transgender - LGBT) tentu sahaja menjadi salah satu kriteria penting sehingga mendorong para Ulama bersependapat mengharamkan perhimpunan seumpama itu.

Namun, persoalannya adakah para peserta BERSIH 3.0 khususnya yang beragama Islam bersedia menerima pandangan para Ulama itu dan mengambil iktibar sebagai pengajaran di masa depan, ataupun mereka lebih selesa berpaut pada pandangan minoriti pro BERSIH 3.0 yang diketuai oleh ulamak politik seperti Nik Aziz Nik Mat?

Friday, 13 April 2012

MANSUH PTPTN BUKTI ANWAR BANKRAP IDEA ??!!!??


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan kedangkalan dalam idea pengurusan kewangan negara apabila mencadangkan pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Sebaliknya, kerajaan harus membiayai pendidikan  peringkat kolej dan universiti secara percuma seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara maju yag lain.

Alasan bekas Menteri Kewangan itu, kerana syarikat minyak milik negara, Petronas, memperolehi puluhan bilion ringgit keuntungan setiap tahun dan dana ini harus digunakan untuk memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Bunyinya sudah tentunya amat menarik, tetapi apabila dipadankan dengan realiti kerangka pengurusan negara, ia akan menjurus kepada krisis kewangan yang amat serius jika cadangan itu dilaksanakan malah negara boleh bankrap.

Mengapa tidaknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan cadangan pelik Anwar akan menambah RM43 bilion lagi kepada beban hutang negara.

Jumlah yang besar ini sudah tentu boleh disalurkan kepada pembangunan disektor ekonomi yang sama penting seperti kesihatan, perumahan rakyat, jalanraya, bantuan keusahawanan Bumiputera dan sebagainya.

Lagi pun kata Perdana Menteri negara seperti Sweden yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya, pada masa yang sama juga mengenakan cukai yang amat tinggi.

Tidak ada kemudahan yang diperolehi dengan percuma tanpa pengorbanan pada sisi yang lain.

Sebagai pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Anwar sudah kekeringan ide yang bernas untuk memajukan ekonomi negara.

Seperti juga cadangannya untuk mengurangkan harga minyak sejurus menjadi Perdana Menteri, semua idenya tidak berlandaskan kepada fakta dan penilaian yang teliti berkaitan ekonomi negara.

Idea Anwar hanya untuk memancing undi pada pilihan raya akan datang dan supaya beliau boleh jadi Perdana Menteri.

Malah bekas bosnya, Tun Dr Mahathir melihat Anwar sebagai Menteri Kewangan yang hambar dan 'mediocre' atau 'cukup makan'.

Kebolehan Anwar mengurus kewangan negara terserlah ketika negara berhadapan dengan krisis kewangan dan ekonomi yang teruk akibat serangan penyangak matawang antarabangsa pada 1998.

Dr Mahathir berkeras tidak mahu mengambil pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia ketika itu kerana ini bermakna negara akan dijajah dari segi ekonomi oleh kedua-dua agensi antarabangsa itu.

Dr Mahathir mahu kerajaan terus berbelanja dalam sektor-sektor yang kritikal seperti pembinaan, pembuatan dan sebagainya bagi menggerakkan ekonomi.

Sebaliknya Anwar yang menjalin persahabatan dengan ramai tokoh Yahudi di Amerika Syarikat dan Eropah mahu Malaysia tunduk kepada IMF dan Bank Dunia seperti mana yang berlaku kepada Indonesia, Thailand dan Korea.

Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu mengambil langkah drastik untuk mengambil hati IMF dan Bank Dunia dan tidak menghiraukan nasib rakyat Malaysia yang menderita teruk akibat krisis ekonomi.

Mereka yang mempunyai pinjaman perumahan ketika itu sudah tentu masih ingatkan bagaimana tindakan Anwar telah menyebabkan kadar faedah pinjaman perumahan telah naik secara mendadak sehingga dua kali ganda.

Ramai rakyat berpendapatan rendah dan sederhana jatuh bankrap, hilang tempat tinggal dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Ini hasil dasar ekonomi yang dilakukan oleh Anwar dan kini cuba menukar wajah untuk menjadi juara membela rakyat pula!

Tidak cukup dengan itu, mereka yang mempunyai kad kredit juga mempunyai pengalaman kerana Anwar telah menaikkan jumlah minima bayaran bukan daripada 10 kepada 15 peratus.

Semua ini dilakukan kerana Anwar adalah budak suruhan dunia Barat dan bukannya pemimpin yang prihatin kepada rakyat.

Cadangan menghapuskan PTPTN dan menurunkan harga minyak hanya mencerminkan minda seorang pemimpin pembangkang yang gagal dalam serba serbi - moral, akhlak, peribadi dan keikhlasan membela rakyat.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mundur dan jauh daripada mencapai status negara maju jika Anwar mengurus ekonomi negara.

Jangan biarkan pengalaman pahit menghantui kita kembali.

Tuesday, 10 April 2012

Tindakan Adun Simpang Pulai Tidak Wajar, Cemar Maruah Dewan-DS Zambry


Hari Terakhir Persidangan Dun Perak ke- 12 dikotori dengan insiden biadap Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai yang bersikap kurang ajar terhadap Speaker, R.Ganesan.


Tindakan kurang ajar itu telah menyebabkan speaker membuat keputusan untuk menghalau pemimpin dari Pakatan Rakyat itu dari menyertai persidangan.


Di permulaan persidangan, Ming Kai telah mencetuskan kekecohan selain menaikkan suara terhadap exco-exco kerajaan negeri berikutan tidak puas hati kerana soalan yang diberikan tidak dijawab.

Difahamkan, perkara yang menjadi ketidakpuasan hati pemimpin pembangkang itu hanyalah kerana soalan lisan yang diberikan kepada exco ditolak oleh speaker.


Daripada, 4 soalan yang diusulkan hanya satu yang diluluskan untuk dijawab oleh kerajaan negeri.
Hanya kerana itu, adun Pakatan Rakyat ini sanggup terpekik terlolong selain bertindak kurang ajar dengan menaiki kawasan podium speaker.


Tindakan itu ternyata Ming Kai tidak mempunyai sikap hormat terhadap kemuliaan dewan selain mempamerkan nilai adab yang sangat teruk.
Contoh sebegini sudah tentu mencerminkan sikap sebenar Ming Kai dalam mentadbir kawasan Simpang Pulai.


Nampak seperti seorang yang pendiam tetapi sebenarnya sikap kurang ajar seperti telah sebati dalam dirinya seperti mana yang diamalkan pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang lain.


Selain itu, difahamkan juga Ming Kai tidak puas hati dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Exco Perindustrian, Datuk Hamidah Osman.


Ming Kai mendakwa Hamidah gagal menjawab soalan berkaitan isu pembalakan seperti yang dikemukakan.

Berang dengan jawapan Hamidah itu, maka Ming Kai mula meluahkan perasaan marahnya dengan mempamerkan sikap kurang ajar.


Persidangan kemudiannya, kembali berjalan selepas kekecohan itu.